MYHERO, platform rangkaian sosial berasaskan komuniti yang pertama di Malaysia dilancarkan secara rasminya bagi memanfaatkan kuasa kejiranan dalam kalangan individu dan kumpulan masyarakat untuk meningkatkan tahap keselamatan mereka.
Pengasas bersama MYHERO, Chan Wei Chi berkata, aplikasi itu berperanan menghubungkan komuniti berdasarkan kepada kawasan dengan kumpulan-kumpulan kejiranan, tempat kerja, rumah-rumah kebajikan, pihak keselamatan dan agensi-agensi kerajaan.
Menurutnya, ia dibangunkan oleh syarikat media digital berpengaruh tempatan iaitu Dino Media.
MYHERO bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan. Aplikasi ini memiliki ciri-ciri yang boleh membantu pengguna melapor dan berkongsi insiden-insiden seperti jenayah, keadaan trafik, bencana alam atau kemalangan, untuk memberi amaran kepada pengguna lain di kawasan terbabit.
Aplikasi itu kini boleh dimuat turun daripada di Google Play Store. MYHERO berhasrat merapatkan jurang keselamatan yang kian menjadi kebimbangan utama dalam kalangan rakyat Malaysia, katanya.
MYHERO mesra pengguna
MYHERO direka supaya mesra pengguna serta sesuai digunakan oleh pengguna bagi semua peringkat umur dan latar belakang.
Secara umumnya, aplikasi ini berfungsi sebagai pemberitahu digital yang memastikan pengguna sentiasa peka dengan sebarang insiden yang berlaku di sekeliling mereka. Ini termasuklah kemalangan, jenayah dan bencana alam yang dikongsi oleh pengguna lain di kawasan terlibat, katanya.
Menurutnya, ciri yang ada dalam aplikasi ini membolehkan pengguna membuat panggilan kecemasan untuk meminta pertolongan jika mereka berdepan dengan masalah di kawasan terbabit.
Inspirasi untuk membangunkan aplikasi ini timbul selepas kami kehilangan seorang kawan dalam satu kemalangan. Insiden itu membuatkan kami terfikir bagaimana untuk menjadikan Malaysia lebih selamat menerusi penggunaan peranti pintar.
Kita membawa sekurang-kurangnya satu peranti pintar sepanjang masa. Kami dapati tingkah laku ini boleh dimanfaatkan untuk membantu pengguna mendapatkan pertolongan orang ramai apabila berdepan situasi berbahaya, katanya.
Keselamatan menjadi keutamaan
Keselamatan menjadi keutamaan dan kebimbangan seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, kata Wei Chi, aplikasi ini sememangnya berguna kerana semua pihak boleh menggunakannya sebagai satu platform untuk melindungi orang lain menerusi kemaskini status di kalangan pengguna ke dalam satu rangkaian sosial pada masa sebenar.
Aplikasi ini bersifat pencegahan. Ia boleh menjadi satu amaran yang dilaporkan oleh mana-mana pihak sama ada seorang murid sekolah rendah ataupun pesara yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa orang lain, katanya.
Menurutnya, MYHERO dibina dan direka dengan memberi keutamaan terhadap keselamatan dan aplikasi MYHERO hadir bersama pelbagai ciri yang membantu pengguna memantau, melapor dan membuat panggilan kecemasan kepada kawan-kawan, ahli keluarga serta sesiapa sahaja yang berada di kawasan terdekat.
Ciri-ciri MYHERO
Menurut Wei Chi, ciri-ciri MYHERO termasuklah Kumpulan Komuniti, Sos Geolokasi, Laporan Geolokasi, Laporan Berita Geolokasi dan Pemantauan.
Melalui Kumpulan Komuniti membolehkan pengguna menubuhkan satu kumpulan tersendiri dan menambah pengguna lain di satu-satu kawasan bagi menggalakkan perkongsian maklumat berkaitan aspek keselamatan. Pengguna juga boleh melaporkan apa yang berlaku kepada kumpulan di kawasan sekelilingnya.
Sos Geolokasi membolehkan pengguna menghantar isyarat kecemasan menerusi teknologi berasaskan geo lokasi kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang terpilih dengan menggunakan SMS dan notifikasi apabila mereka berada dalam situasi kecemasan, katanya.
Beliau berkata, Laporan Geolokasi pula membolehkan pengguna menggunakan ciri ini untuk melaporkan sebarang bentuk jenayah, kemalangan atau insiden yang berlaku bagi member amaran kepada pengguna lain di kawasan mereka. Laporan ini boleh dilihat pada notifikasi mereka.
Tambahnya, Laporan Berita Geolokasi pula membolehkan pengguna mengetahui insiden terkini yang dilaporkan pengguna di kawasan terbabit. Mereka juga akan sentiasa diberitahu mengenai apa yang berlaku dan kawasan yang perlu dielakkan.
Pemantauan membolehkan para pengguna melihat apa sahaja laporan dalam peta kawasan sekeliling dan mengetahui lokasi tepat insiden itu berlaku. Ciri ini juga membolehkan pengguna untuk melihat rakan-rakan mereka di peta tersebut," katanya.
MYHERO dilancarkan secara beta
Wei Chi berkata, aplikasi MYHERO dilancarkan secara beta kepada orang ramai di Google Play Store pada Julai lalu. Sejak itu, ia digunakan sebagai platform bagi pengguna untuk berkongsi maklumat terkini berkaitan keselamatan di kejiranan masing-masing.
"Salah satu pencapaian terbaik aplikasi ini ialah apabila kereta seorang pengguna yang dicuri berjaya ditemui semula, katanya.
Beliau berkata, mangsa meminta bantuan untuk mencari keretanya, kemudian para pengguna lain di kejiranan tersebut tampil membantu dengan berkongsi maklumat berkaitan kereta yang hilang itu sehingga ia dijumpai.
Menyedari hala tuju aplikasi ini, pasukan MYHERO mula bekerjasama dengan jawatankuasa-jawatankuasa kejiranan untuk membina komuniti pintar yang boleh memanfaatkan aplikasi tersebut, katanya.
Menurutnya, aplikasi MYHERO kini boleh didapati secara beta di Google Play Store kini, Apple App Store pada masa akan datang dan juga versi laman web yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Bagus juga app ni, servis khidmat masyrakat:)
No comments:
Post a Comment